Menurut Kamus Dewan Bahasa, tekanan merupakan desakan yang kuat atau keadaan menekan yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan. Setiap individu menghadapi cabaran berbeza seperti tekanan keluarga, tempat kerja, masalah kewangan, atau hubungan sosial. Daya tahan mental merupakan faktor utama yang membezakan individu yang mudah terkesan dengan tekanan dan yang mampu mengatasinya. Teknik psikologi seperti teknik pernafasan dalam dapat membantu meningkatkan daya tahan mental dengan mudah diamalkan dalam kehidupan seharian untuk mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesejahteraan mental (Nadia & Faridah, 2021).
Asas teori di sebalik teknik pernafasan dalam merujuk kepada fungsi sistem saraf autonomi yang mengawal tindak balas tubuh terhadap tekanan. Terdapat dua bahagian utama dalam sistem saraf ini, iaitu Sistem Saraf Simpatetik yang berkaitan dengan tindak balas "Lawan atau Lari" dan Sistem Saraf Parasimpatetik yang bertanggungjawab untuk menenangkan badan dan mengurangkan tekanan. Apabila seseorang mengamalkan pernafasan dalam dengan terkawal, sistem saraf parasimpatetik akan diaktifkan, membawa tubuh kembali kepada keadaan relaks. Ini berkait rapat dengan Teori Polivagal yang menyatakan bahawa pernafasan terkawal dapat meransang saraf vagus untuk meningkatkan kestabilan emosi dan daya tahan terhadap tekanan.
Langkah-langkah praktikal untuk mengamalkan pernafasan dalam termasuk mencari tempat yang tenang dan selesa, letakkan tangan di perut dan dada, tarik nafas perlahan dan dalam melalui hidung, hembus nafas perlahan-lahan melalui mulut, ulang corak pernafasan tersebut, fokus pada sensasi nafas, dan amalkan teknik ini selama beberapa minit. Aktiviti atau latihan lain yang boleh dilakukan termasuk teknik pernafasan 4-7-8 yang melibatkan hembusan nafas dan tahanan nafas untuk menguatkan psikologi melalui teknik tersebut (Asyikin Md Isa, 2023).